Pages

Thursday, 14 February 2013

Tugas-tugas Pemerhati Pilihanraya

Dari semasa ke semasa kantung emel saya sudah mula dipenuhi oleh pertanyaan dan permohonan untuk menjadi pemerhati pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). Antara soalan yang sering ditanyakan ialah apakah skop kerja sebagai sukarelawan pemerhati PRU-13 nanti?
Sebenarnya tugas pemerhatian pilihan raya cukup banyak. Sebahagiannya telah dinyatakan di dalam tulisan-tulisan sebelum ini (capaiannya boleh dirujuk di laman web IDEAS atau laman Facebook PEMERHATI).

Menyelidik, memerhati, merekod dan melapor proses dan perjalanan PRU-13

Secara umumnya, skop kerja PEMERHATI ialah menyelidik, memerhati, merekod dan melaporkan proses dan perjalanan pilihan raya. Pemerhatian akan dibuat bukan sahaja kepada pemimpin, calon atau penyokong parti politik, ia turut mencakupi badan eksekutif, orang ramai malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga.

1) Institusi awam yang berkecuali

Selepas pembubaran dewan, peranan ahli politik yang memegang jawatan eksekutif adalah minima. Justeru penggunaan kemudahan dan peranan kakitangan awam dalam aktiviti bersifat kempen akan diperhatikan.

Agak malang jika kita gagal membezakan antara parti politik dan kerajaan. Kegagalan memisahkan kedua-dua entiti ini memberi ruang untuk kemungkinan salah laku berlaku. PEMERHATI akan merekodkan jika ada jentera atau kakitangan awam terlibat dalam kempen semasa bertugas.

2) Daftar pemilih

Kita mungkin telah mendengar banyak pertikaian berkenaan daftar pemilih. Selain peranan SPR, orang ramai wajar menyemak jika alamat tempat tinggal mereka terdapat nama-nama yang tidak dikenali. Orang ramai boleh membuat pilihan untuk melaporkan kepada SPR, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau Polis. Orang ramai juga boleh membuat laporan beserta bukti kepada PEMERHATI.

Jika PRU-13 diadakan selepas bulan Mac 2013, kemungkinan daftar pemilih tambahan bagi pengundi yang mendaftar antara Januari 2013 dan Mac 2013 akan dipamerkan. PEMERHATI akan merekodkan proses ini jika ia berlaku.

3) Proses pilihan raya

Proses pilihan raya adalah seperti berikut:

i) Pengeluaran writ, iaitu pengumuman tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian oleh SPR;

ii) Penamaan calon;

iii) Kempen pilihan raya; tempoh hari minima bagi kempen telah dinaikkan kepada 11 hari.

iv) Pengundian; berlangsung antara pukul 8 pagi hingga 5 petang.

v) Penjumlahan rasmi undi;

vi) Pengumuman keputusan pilihan raya.

Umumnya, PEMERHATI akan merekod dan melapor suasana proses yang berlangsung – aman atau tegang, kehadiran tokoh atau calon, anggaran jumlah anggota polis yang ditempatkan bertugas di lokasi berkenaan, kehadiran wakil parti dalam proses berkenaan, waktu pusat pengundian di buka dan ditutup, waktu pengumuman keputusan dibuat, bagaimana orang kelainan upaya (OKU) serta pengundi yang sakit dapat menunaikan hak mereka, pertikaian yang mungkin ada serta pematuhan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

4) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

PEMERHATI juga akan mengambil laporan orang ramai jika ada pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu:

i) Kewujudan kertas penamaan calon dan kertas undi palsu

ii) Halangan mengundi misalnya ada sekatan jalan untuk pengundi hadir ke pusat pengundian atau kad pengenalan pemilih yang sah diambil oleh pihak lain.

iii) Sogokan sama ada dalam bentuk pemberian wang, pinjaman, peluang perniagaan, balasan yang bernilai atau yang sering berlaku kini ialah tuntutan semula bayaran tiket atau minyak untuk balik mengundi.

iv) Penyamaran, iaitu menggunakan kad pengenalan orang lain untuk mengundi.

v) Penjamuan, iaitu majlis makan-minum bersifat kempen, serta hadiah yang ditawarkan seperti baucer, tiket dan sebagainya. PEMERHATI akan merekodkan jika ada majlis sebegini dibuat sama ada oleh badan kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan, calon, parti dan mana-mana pihak lain.

vi) Pengaruh tidak wajar, seperti ugutan, ancaman, tekanan atau ucapan seperti “sekiranya kamu tidak mengundi aku, kamu akan masuk syurga,” atau “jika kamu mengundi mereka, kamu terkeluar daripada kepercayaan agama ini”.

vii) Kempen bersifat menghasut ketegangan kaum dan agama juga akan direkodkan.

5) Kempen

Sebahagian besar maklumat di atas ada berkaitan soal kempen. Selain itu, banyak janji pilihan raya akan dikemukakan oleh calon dan parti bertanding. Janji-janji yang dikemukakan juga akan dicatat untuk dianalisa sama ada ia bersalahan dengan Akta atau tidak.

PEMERHATI akan merekodkan lokasi mana-mana perhimpunan yang dibuat, aspek keselamatan di lokasi tersebut – berlaku kekacauan atau tidak, ada polis atau petugas keselamatan penganjur yang bertugas atau tidak dan sebagainya.

6) SPR

PEMERHATI juga akan merekodkan kenyataan-kenyataan SPR sekiranya ada isu dan aduan dibuat oleh mana-mana pihak. Selain itu, penjawat awam yang bertugas sebagai kakitangan SPR semasa hari pengundian juga tidak boleh memihak atau mesti bersifat berkecuali.

Bukan tugas PEMERHATI

Ramai yang beranggapan bahawa tugas pemerhatian pilihan raya termasuklah mengambil tindakan pencegahan. Ini sebenarnya tidak tepat. Piawaian antarabangsa juga tidak begitu. Tidak ada mana-mana peruntukan undang-undang yang membenarkan PEMERHATI bertindak mencegah sesuatu perkara, kecuali dalam sesetengah kes bersifat jenayah dan kekerasan.

Sebenarnya untuk kesalahan bersifat jenayah dan kekerasan, orang ramai boleh bertindak selaras dengan apa yang dibenarkan perlembagaan.

Untuk kes menggunakan kad pengenalan palsu atau kad pengenalan orang lain serta pergaduhan, penahanan oleh orang awam (public arrest) boleh dibuat, tetapi pihak polis menasihatkan orang awam tidak bertindak sendiri seperti memukul dan membelasah pihak yang ditangkap kerana hukumannya lebih besar. Jika ada kes seperti itu, laporan kepada pihak polis perlu dibuat dan segala tindakan selanjutnya akan menurut proses undang-undang.

Jadilah sukarelawan PEMERHATI

Ini adalah sebahagian besar perkara yang akan dilihat, dicatat dan dilaporkan oleh PEMERHATI. Bagi yang berminat untuk tahu lebih lanjut, PEMERHATI akan memulakan jelajah penerangan dan latihan bagi sukarelawan PEMERHATI di setiap Negeri. Ikutilah makluman berkaitannya di laman web rasmi PEMERHATI. Tawarkan diri anda sebagai sukarelawan PEMERHATI. Bersama kita memastikan integriti PRU-13.



Amin Ahmad ialah Pengurus Projek dan Operasi di IDEAS. 
Sekiranya anda berminat untuk menjadi sukarelawan PEMERHATI, hantarkan nama, nombor telefon, parlimen tempat anda mengundi ke amin@ideas.org.my. 
Pihak kami akan menghubungi anda untuk membekalkan maklumat penuh.

No comments:

Post a Comment